Wednesday, February 24, 2016

Allah Amat Menyayangi Kamu

Hikmah dari takdir-Nya, terkadang belum tersingkap, ada juga yang selamanya menjadi rahsia kerana manusia tidak cuba untuk mencari apa yang terselindung di sebaliknya.

Namun satu hari, saat hikmah dari apa yang berlaku itu terserlah, tak mustahil kita akan terduduk menangis kerana terharu dan bersyukur padaNya; kerana menetapkan takdir hidup sedemikian buat kita...

Boleh jadi kita akan sujud syukur setiap kali mengenangkan mengapa Allah memilih untuk mengambil sesuatu yang kita sayang pada ketika dahulu. 

Kerdilnya manusia ini, jahilnya akal mereka. Kerana selalu sahaja berburuk sangka kepada Tuhan, menuduh Tuhan memberi ujian kerana membenci. Sedangkan pada hakikatnya, betapa Allah dengan penuh kasih sayang telah mencorakkan hidup setiap insan itu ada pasang surutnya demi kebaikan mereka. 

Yang harus kita fahami, bahawa dalam kedua-dua keadaan; Allah tak pernah sekali-kali membenci. Bahkan Allah menanti. Menanti manusia itu kembali, menanti manusia sedar bahawa Dia beri ujian kerana Dia mahu kita semakin teguh berdiri, bukan untuk terus-terusan menyalahkan Ilahi, namun untuk membuktikan bahawa kita ini hamba yang memerlukan Dia hari-hari... .


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...