Saturday, July 16, 2016

Kali Pertama, Ayat-ayat Cinta 2.


Bismillah.

Rindu yang amat pada blog ini. Selalu singgah tapi tanpa meninggalkan apa-apa jejak. Dan Alhamdulillah kali ini ada sedikit ruang dan peluang untuk menulis beberapa kalimat dari hati, hasil dari pembacaan novel Ayat-ayat Cinta 2.

Sebenarnya terasa macam "this is so not me" ketika menulis entri ini disebabkan dua perkara; 1) Saya bukan jenis yang baca novel, saya lebih gemarkan buku non-fiction atau buku antologi cerpen/ kisah pendek. 2) Saya rasa ini pertama kali saya cuba untuk menulis review di blog ini tentang buku yang saya baca. Bukanlah review yang formal tapi serba sedikit cerita di sebalik pengalaman saya membaca novel Ayat-ayat Cinta 2. :) Terima kasih buat anda yang sudi membaca entri ini. Saya amat hargainya. <3

Sebenarnya saya amat terpanggil untuk membeli lantas membaca novel ini kerana ia adalah kesinambungan dari novel Ayat-ayat Cinta. Dan semestinya novel itu saya baca kerana ia antara novel cinta islami yang terawal berada di pasaran dan mendapat sambutan luar biasa hebat! Saya tidak menonton filemnya, hanya baca novelnya. Siapa tak kenal Fahri, Aisha & Maria kan? ;)

Saya mengambil masa yang agak lama juga untuk menghabiskan novel 1000 mukasurat ini. Alhamdulillah berjaya habiskan walaupun sejujurnya ada beberapa bahagian yang saya skip untuk baca, iaitu bahagian-bahagian Fahri berdebat atau berdiskusi secara ilmiah. Saya amat musykil mahu tahu apa yang terjadi kepada Aisha, kerana itu saya agak terganggu jika terlalu banyak diskusi ilmiah yang perlu dibaca. Maaf Kang Abik. Tapi diskusi itu semua sememangnya terlalu hebat serta sangat informatif, cuma saya yang memilih untuk skip ketika proses pembacaan. 

Perasaan ketika membaca novel ini? Sudah tentu amat bercampur baur, namun yang paling banyak adalah rasa sayu. Sayu saat Fahri rindukan Aisha dan terluka hatinya tatkala tidak mengetahui apa yang terjadi kepada buah hatinya Aisha. Juga terbit rasa kagum dengan Fahri, yang mencuba sehabis baik untuk berdakwah menggunakan akhlak yang mulia, dengan cara membalas kejahatan dengan kebaikan demi kebaikan. Namun tertanya juga, apakah benar-benar wujud insan yang terlalu sempurna seperti Fahri?

Antara perkara lain yang amat menggembirakan hati saya ketika membaca novel ini ialah latar belakang kisahnya; iaitu di Scotland. Negara yang amat dekat di hati saya kerana di situlah saya dilahirkan. Membaca cerita yang dipetik satu persatu tempat di negara itu, benar-benar terasa nostalgik meski saya tidak lama berada di sana, malah masih terlalu kecil untuk mengingati setiap momen istimewa. 

Jalan cerita novel ini, saya rasakan cukup teratur. Cerita satu persatu diselitkan, watak demi watak diperkenalkan dan tidak sukar untuk difahami jalan penceritaannya. Terlalu banyak tanda tanya yang menyebabkan tangan ini tidak mampu berhenti dari membelek helaian demi helaian sehingga saya temui jawapannya. Terlalu ramai wanita baik dan cantik yang muncul di sepanjang cerita namun bagaimanakah akhirnya penghujung kisah Fahri dengan wanita yang dihadirkan dalam hidupnya? Dan di mana sebenarnya Aisha? 

Apapun, antara mutiara berharga yang dipelajari dari kisah Ayat-ayat Cinta kali ni ialah;

1) cinta yang kuat kepada seseorang mampu memberi kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan

2) benarlah bahawa akhlak yang mulia itu melebihi segalanya

3) kesucian diri ternyata lebih penting dari paras rupa yang hanya sementara

4) bahagia itu ada, carilah dalam diri kita, minta dari Dia

5) Betapa besarnya pengorbanan mereka yang mempertaruhkan nyawa demi menjaga agama

6) Aisha, Hulya, Sabina.... daku ingin jadi seperti kalian!



Jumpa lagi. :')



The book. And me.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...