Saturday, December 31, 2016

TIPS SURVIVAL UMRAH UNTUK WANITA


1) Ketika tawaf: 

a) pakai seluar kat dalam jubah, bukan kain. Ini untuk mengelak dari melecet di peha yang lebih menyulitkan ibadat yang memerlukan kita untuk banyak berjalan.

b) pakai kasut bersih khas untuk tawaf. Untuk pengetahuan anda, lantai di tempat tawaf adalah lantai tile. Jadi kalau kita cuma pakai sarung kaki, agak tak selesa untuk berjalan sebab sedikit licin dan kaki pun cepat sakit. (Sarung kaki juga akan cepat koyak) Jadi disarankan agar kita memakai kasut khas untuk tawaf (kasut sarung contohnya) yang memang bersih dan tidak dipakai di tempat lain.

Rupa lantai di kawasan tawaf :)


c) Jalan secara mengiring ketika hendak masuk pusingan tawaf atau keluar dari tawaf. Jangan melawan arus. Ia lebih mudah dan paling penting, ia tidak menyusahkan orang lain yang sedang tawaf.

d) Kalau terpaksa berseorangan melakukan tawaf dan anda takut untuk lakukannya di kawasan yang betul-betul sekeliling Kaabah (kerana terlalu sesak), boleh pergi ke tingkat 1. Di sana lebih lengang dan tidak perlu bersesak dengan orang lain (cuma pusingan tawafnya lebih jauh)

Pemandangan dari level 1 Masjidil Haram

e) Untuk yang sudah uzur, boleh upah pekerja di Masjidil Haram untuk tolak di atas kerusi roda.

2) Ketika sa'ie. Sama seperti tawaf; iaitu pakai seluar di dalam jubah dan pakai kasut. Biasanya perjalanan saie lebih laju berbanding tawaf sebab kurang sesak. Jadi mengikut pengalaman saya, agak susah nak berjalan dengan laju jika sekadar memakai sarung kaki. Lebih baik berkasut. Untuk saie, anda juga boleh guna kerusi roda atau motor. Di tingkat atas sekali untuk saie, ada disediakan motor khas (lebih kurang ATV) yang boleh kita naik (kalau tak silap boleh naik berdua) dan perlu bawa sendiri. Ada bayaran dikenakan.

3) Pakai niqab. Selain untuk mengelakkan diri daripada diganggu, niqab juga membantu melindungi wajah ketika panas terik dan juga ketika ribut pasir (adakala ia berlaku). Niqab boleh dibeli sebelum berangkat ke sana atau boleh juga beli di sana. Ada banyak pilihan dengan harga yang murah.

4) Pakaian:

a) Untuk jubah, tak bawa banyak pun tak apa. Dalam 4-5 helai jubah pun sudah lebih dari cukup. InshaAllah ada masa untuk basuh jubah tu. Boleh basuh sendiri (boleh beli sabun di sana) atau hantar ke laundry service di hotel (biasanya ada servis ni di setiap hotel). Kalau tak cukup jugak, boleh beli jubah di sana. ;)

b) Di sana boleh pakai selain jubah? Boleh, nak pakai jubah seluar boleh, blouse labuh dengan skirt boleh, pakai baju kurung pun boleh. Asalkan menutup aurat. Saya faham, biasanya waktu pertama kali kita nak ke tanah suci, kita akan fikir yang di sana hanya boleh pakai jubah hitam atau telekung sahaja. :)

c) Pakai yang mudah. Lagi bagus tudung & baju yang ironless. Kalau memang kedut jugak, dan tak sempat iron + segan nak keluar sebab kedut, boleh pakai telekung kat luar jubah. Kat sana memang tak pelik pun kalau ke sana sini bertelekung. :D

d) Bawa mini telekung (yang kurang labuh daripada telekung yang biasa kita guna), dan boleh juga bawa telekung tanpa kainnya. Sebab biasanya di sana kita memang akan pakai telekung siap-siap dari hotel ke masjid, jadi lebih mudah untuk pakai telekung sahaja tanpa kainnya. Dan di masjid nanti tak ada masalah untuk solat terus walaupun tak ada kain telekung tu. Asalkan menutup aurat sempurna. Mini telekung tu juga boleh dijadikan sebagai tudung kita sepanjang di sana.

e) Jangan lupa bawa hanger. Tapi kalau lupa, boleh beli di sana. ;)

5) Bawa beg kasut.  Di Mekah terutamanya, rak kasut tidak banyak dan kalau ada pun, ada risiko kita lupa di mana rak yang kita letak kasut kita. Dan boleh jadi juga kita terpaksa keluar dari masjid menggunakan pintu yang tak sama dengan pintu ketika kita masuk. Jadi sebaiknya bawa kasut ke mana sahaja ketika kita berada dalam masjid. Ada orang guna plastik, tapi saya sarankan anda bawa sarung kasut berzip untuk mengelakkan kotoran dari kasut jatuh di dalam masjid. (Untuk Madinah, rak kasut ada banyak dan tak susah untuk cari pintu keluar yang sama, jadi kalau taknak bawa beg kasut pun tak apa, tapi tetap ada risiko kasut tertukar/diambil orang)

6) Makanan. Untuk umrah, biasanya tak timbul isu "makanan tak kena dengan tekak Melayu". Tapi kalau anda nak bawa makanan juga, cukup bawa sambal atau sos cili. Sepanjang saya pergi umrah dan haji, saya belum jumpa lagi sos cili style Malaysia di sana. Kat sana banyak fast food juga, jadi kalau sekali sekala teringin makan fast food, memang takkan lengkap rasanya kalau tak cicah sos cili Malaysia kan? :) Tapi biasanya umrah ni tak ada masalah sangat tentang makan, lagipun tempoh umrah pun tak lama. Bekalan makanan lain tak perlu bawa, sebab kat sana ada banyak mall/ supermarket. Nak beli sayur, bawang, 3 in 1, semua ada. :)

7) Isu tandas. Di Mekah, tandas memang agak jauh dari tempat solat. Kalau anda tinggalkan tempat solat untuk pergi ke tandas, biasanya anda takkan dapat duduk semula di tempat yang sama. terutamanya jika sudah hampir masuk waktu solat. (Di sana biasanya kita berada di masjid sejam sebelum azan, kalau lambat, tempat penuh dan pintu akan ditutup) Tapi untuk anda yang nak stay lama di masjid dan tak nak risau tentang masih ada tempat untuk solat atau tidak selepas balik dari tandas, anda boleh solat di bahagian bangunan masjid yang baru, bahagian extension Masjidil Haram yang ditambah, berhadapan dengan hotel Intercontinental. Ia lebih dekat dengan tandas. Dan di situ juga kurang penuh (mungkin kerana di situ jauh dengan kaabah dan tiada tempat tawaf). Saya juga sarankan anda untuk pergi solat di situ jika anda terpaksa pergi lewat sedikit ke masjid. Setengah jam sebelum masuk waktu sudah dikira lambat dan ada kemungkinan pintu masjid (bukan di bahagian bangunan baru) ditutup dan terpaksa solat di luar, adakala di luar juga penuh.

Bahagian bangunan baru.
Setakat itu sahaja yang sempat saya kongsikan buat masa sekarang. Saya belum arif tentang hukum hakam ketika di sana, tapi untuk yang bertanya tentang isu haidh ketika umrah, saya sarankan anda baca di link ini:  https://m.facebook.com/notes/sunnah/bagaimana-wanita-haid-selesaikan-umrah/335294028459/

Semoga bermanfaat!


Friday, December 30, 2016

Bercerita Tentang Mimpi

Bismillah.

Anda pernah mimpi indah yang anda rasa anda takkan lupa sampai bila-bila? Yang anda sangat ingat tentangnya lepas anda bangun dari tidur. Kebiasaannya, kita akan lupa apa yang kita lihat dalam mimpi, tapi ada juga sesetengah mimpi yang sangat segar dalam ingatan sehingga bertahun-tahun.

Masa saya kecil, Ma (ibu saya) pernah cerita tentang satu mimpi yang dia amat ingat dan beri kebahagiaan pada hatinya setiap kali terkenangkannya. Bukan sekali Ma bercerita tentang mimpi itu akan tetapi berkali-kali. Dulu saya tak berapa mampu hargainya kerana saya masih kecil, dan bagi saya, ia hanya mimpi dan mungkin tiada apa yang istimewa tentangnya. Mimpi Ma yang satu itu sangat indah, sangat menenangkan kalau anda cuba bayangkannya. ;) Kata Ma, dalam mimpi tu, Ma berada di satu padang lapang yang sangat hijau, dan dalam mimpi itu, Ma naik daun terbang. Daun besar yang bawa Ma ke seluruh padang yang hanya Tuhan tahu betapa indah ia kelihatan di mata Ma. Saya tak tahu apa tafsirannya, tapi cukuplah jika ia mampu membahagiakan Ma setiap kali bercerita tentangnya. <3

Mungkinkah padang hijau begini yang ada dalam mimpi Ma?

Dan baru-baru ini, saya pula didatangi satu mimpi yang amat saya ingat setiap inci dan apa yang berlaku di dalamnya. Dalam mimpi tersebut, saya sudah berpindah di rumah baru, yang berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang yang kedua (memang agak pelik). Dan rumah tersebut ialah kondominium yang di luar tingkapnya adalah air terjun kecil buatan manusia. MashaAllah saya tak mampu berhenti tersenyum setiap kali teringat suasana yang indah dalam mimpi tersebut.

Rumah kami dalam mimpi tu bukanlah besar atau mewah, tapi bagi saya ia cukup indah, segalanya putih, dan sedikit hiasan bunga berwarna merah jambu, seperti English Style. Walaupun di Malaysia, tetapi atmosfera nya seolah-olah di satu tempat di luar Malaysia. Dan dalam mimpi itu juga, tak ramai yang tahu bahawa saya sekeluarga telah berpindah ke sana. Tapi kami ada adakan house warming buat sahabat terdekat. 

Putih yang menenangkan. :)


Saya pun tak tahu apa makna mimpi tersebut, tapi saya seolah-olah merasakan bahawa ia adalah satu permulaan baru yang bahagia buat saya sekeluarga. Boleh jadi ia tiada apa-apa makna dan sekadar mimpi, tapi tak salah kan andai saya berharap mimpi tersebut akan jadi kenyataan suatu hari nanti? <3 

Waterfall dalam mimpi tu bukan macam ni, dan tak jumpa pun kalau google. Sebab ia cuma wujud dalam mimpi saya. :)

Okaylah, tepat jam 1am. Saya undur diri dulu. Tadi hati sangat memaksa untuk saya menulis sesuatu di blog ini, sebab tu saya coretkan juga sesuatu di sini sebelum tidur. Selamat malam. Mimpi indah! :)



Thursday, December 15, 2016

Dia; At Thahirah


Bangga rasanya mempunyai ibu sehebat Saidatina Khadijah RA, mashaAllah. Betapa kuat semangatnya, betapa berani dia melibatkan diri dalam bidang yang ketika itu hanya didominasi oleh orang lelaki.


Khadijah RA bukan peniaga yang biasa-biasa, dia adalah peniaga yang sangat berjaya. Wanita hartawan yang amat menjaga kemuliaan dirinya (sehingga dikenali sebagai at Thahirah) dan banyak membantu golongan yang memerlukan.



Khadijah RA ibu kita, maka seharusnya kita mengikuti jejak langkahnya. Tidak semestinya kita turut menjadi ahli perniagaan sepertinya, akan tetapi alangkah bagus jika kita berjaya meminjam semangat darinya. Tidak gentar menjadi golongan minoriti dan tidak leka dalam berbakti kepada insan lain. 



Ada sebab kenapa Allah memilihnya sebagai ibu kita, juga sebagai isteri pertama Rasulullah sollallahu alaihi wasallam. Bukan saja-saja takdir dilakar sedemikian, namun ia adalah sebagai suri tauladan, sebagai contoh insan hebat sepanjang zaman, Allahuakbar. Masih mahukah kita untuk terus berpaling dari menjejak langkah ibu kita yang hebat ini? ❤

Tuesday, December 13, 2016

Inspired by Khadeeja (RA)

Bismillah.

www.elsajida.com

Cuba tanya diri kita, siapakah wanita yang selama ini menjadi idola kita? Yang kita selalu berharap untuk menjadi seperti dia? Yang selalu kita letakkan hashtag #goals pada apa-apa sahaja yang dia lakukan? Artis? Blogger famous? Instafamous? 

Terkadang tersentak juga apabila teringat bahawa kita ini sebenarnya belum benar-benar mencuba sehabis baik untuk menjadi seperti contoh wanita teladan yang telah Allah beri kepada kita, salah satunya Saidatina Khadijah Radhiyallahu 'anha. Ya, kita tahu Khadija RA itu wanita syurga, isteri insan paling agung, dan banyak berkorban untuk agama. Namun, setakat itu sahajakah yang kita tahu? Dan dari apa yang kita tahu itu, apakah yang kita boleh contohi? Berapa banyak jejaknya yang telah kita ikut?

Memikirkan situasi Muslimah zaman kini yang adakala merasa sedih kerana tidak mampu sepopular dan secantik wanita yang dilihatnya di alam maya, kami dari El Sajida mahu mengajak kita sama-sama untuk mula menjadikan inspirasi sebenar dalam mendidik diri menjadi wanita terbaik. Kita bukan mahu cari populariti, kita tak mahu orang ramai menyebut-nyebut kita ini cantik dan sebagainya, tapi kita sebagai hamba wanita, mahu disebut-sebut di langit sana, mahu menjadi terkenal di kalangan penduduk langit. Biarlah di mata manusia kita ini bukan siapa-siapa, asalkan di mata Tuhan, kita ini calon ahli Syurga.

Semua wanita yang masih hidup kini, termasuk wanita yang kita agungkan, mereka belum ada jaminan bahawa mereka adalah manusia yang berjaya di Akhirat sana. Hanya para Sahabiah RA lah yang kita tahu telah berjaya di dunia dan di Akhirat. Kerana itu rugilah seandainya kita tidak cuba untuk mengikuti langkah mereka yang telah Allah janjikan syurga. 

Dengan hashtag #inspiredByKhadeeja ini, kami mengalu-alukan anda semua untuk berkongsi apa sahaja yang anda tahu dan pernah baca/dengar tentangnya. Samada dari Sirah, hadith tentangnya (sebaiknya disertakan sumber), atau apa sahaja quotes yang ada berkaitan Khadijah RA. Semoga dengan adanya hashtag ini, lebih ramai lagi yang akan mengenali sumber inspirasi sebenar setiap muslimah, dan lebih penting lagi, supaya lebih ramai yang mahu berusaha untuk menjadi seperti Khadijah RA. InshaAllah. 

Friday, December 9, 2016

Persaingan Brand Fesyen Muslimah

Bismillah.

Jam menunjukkan angka 4:48am dan saya di sini masih berjaga. Waktu sebegini sebenarnya yang amat saya nantikan, sebagai me-time session. Kalau tanya saya, apa yang biasa buat pada me-time, jawapannya; update blog, study tentang bisnes, atau baca buku. Dan malam ini, nak tahu aktiviti yang mana yang saya pilih? Jawapannya; study tentang bisnes.

Suami saya selalu kata, dalam dunia ni sebenarnya semua perkara dah diberitahu caranya, samada kita mahu cari serta amalkannya atau tidak. Nak berjaya dalam apa sahaja bidang, semua tips dah ada. Contoh-contoh orang yang berjaya dalam setiap bidang juga dah ada. Tiada yang rahsia. Cuma samada kita memilih cara yang tepat untuk diikuti atau tidak. Tak perlu lama tertanya yang mana tips yang tepat, ikut sahaja cara orang yang sudah berjaya, inshaAllah kita juga akan berjaya. Kerana jalan yang dilaluinya dalam menuju kejayaan itu sudah terbukti membuahkan hasil. Usah terlalu lama berfikir samada tips itu ini akan menjadi atau tidak, tapi perlu SEGERA BERTINDAK! Dalam bisnes, kita tak perlu tunggu kita tahu semua perkara baru mahu bertindak, tapi yang penting adalah bertindak pantas bagi setiap perkara yang kita mahu lakukan, berbekalkan ilmu yang ada.


Gambar Hiasan

Kerana itu, saya cuba stay up beberapa jam malam ini semata-mata untuk belajar dari brand-brand besar. Saya cari apa strategi-strategi mereka dan ternyata, dari hasil pencarian saya, El Sajida perlukan banyak pembaharuan serta peningkatan. Ada banyak kesilapan yang dilakukan sebelum ini, akan tetapi tak mengapa. Kerana dari kesilapan itu, terlalu banyak pengalaman berharga yang kami pelajari dan yang paling penting, kami tidak akan mengulangi lagi kesilapan tersebut. Kami percaya bahawa setiap fasa yang kami lalui selama ini, tiada satu pun yang sia-sia. Kerana kami yakin bahawa Tuhan tidak pernah meletakkan kami di sesuatu tempat tanpa sebarang hikmah. Sepanjang perjalanan ini, terlalu banyak mutiara berharga yang telah kami kutip.

Saya akui, akhir-akhir ini saya agak merasa down tentang El Sajida. Bukan apa, down apabila memikirkan betapa makin hebat persaingan dalam bidang fesyen muslimah. Dan juga agak termenung juga memikirkan bagaimana El Sajida mahu bersaing dengan model-model cantik dari brand lain, serta bagaimana untuk kami melebarkan sayap dengan meneruskan konsep kami yang menutup wajah model? Wajah model memang memainkan peranan penting dalam memasarkan sesuatu produk, terutamanya untuk pelanggan mengenali dan 'ingat' brand kita. Jadi bagaimana dengan brand yang tiada wajah model untuk 'diingati' oleh pelanggan?

Contoh model El Sajida. :)

InshaAllah saya dah jumpa caranya. Dan El Sajida kini dalam proses untuk membaiki apa yang kurang selama ini. Saya yakin, Tuhan pasti akan tunjukkan jalannya dan pasti bantu memudahkan urusan. <3 Tapi dalam masa yang sama, kami juga harus banyak lagi menuntut ilmu bisnes serta 'pulun' untuk terus beri yang terbaik untuk pelanggan.

MashaAllah betapa perjalanan ini bukan mudah, tapi saya pegang pada kata-kata bahawa orang yang hebat, akan diuji dengan hebat.

Okaylah, saya nak berehat seketika sebelum masuk hari baru. :) Kalau nak tengok lagi apa kelainan model kami dengan model brand lain, click www.elsajida.com.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...