Monday, January 30, 2017

ABAH

KASIH ABAH YANG TERSIMPAN

Pertama kali saya peluk Abah adalah pada malam keberangkatan saya untuk menunaikan haji pada tahun 2016. Benar, dalam memori saya, tak pernah ada kenangan memeluk Abah. Mungkin kali terakhir adalah ketika saya masih bayi. Dan sedikit pun saya tidak salahkan Abah. Sebab mungkin itu caranya. Yang tidak biasa menunjukkan kasih sayang melalui perbuatan.

Kalau hendak berpisah pergi ke mana-mana, kami adik beradik hanya akan bersalaman dengan Abah. Jadi sampai dewasa pun kami tak biasa peluk Abah. Ada rasa segan kalau nak peluk cium Abah. Semakin saya dewasa, semakin saya selalu tertanya, "bila agaknya aku akan berani peluk Abah? Takkan aku nak tunggu hari terakhir Abah di dunia baru aku nak peluk?"

MUNGKIN YANG TERAKHIR

Sesiapa yang ingin menunaikan haji, pasti akan merasa sayu yang tidak terkata sebelum meninggalkan keluarga. Dan malam itu, malam saya berangkat ke Mekah, saya juga tak terlepas dari memikirkan bahawa boleh jadi saya tidak pulang lagi ke Malaysia, boleh jadi Allah tarik nyawa saya di sana. Apatah lagi pada tahun 2015 ada kes yang ramai meninggal semasa menunaikan haji.

Kerana memikirkan kemungkinan yang sedemikian, saya nekad, saya mesti peluk Abah sebelum naik pesawat. Pada mulanya saya bersalam dengan Abah seperti biasa, tapi semestinya dengan airmata yang bercucuran. Kemudian saya terus peluk Abah erat-erat, saya buang rasa malu. Dan airmata saya terus tak tertahan lagi. Yang lebih menambah sebak di hati apabila Abah turut menangis. Pertama kali saya lihat Abah menangis. Selama saya hidup, saya tak pernah lihat Abah marah & menangis. Tapi malam itu, Abah bukan setakat menangis, tapi tangisan Abah sangat kuat sehingga terdengar esakannya. Allahuakbar. Boleh jadi Abah juga rindu mahu memeluk anaknya, akan tetapi kerana tidak dibiasakan, Abah pendamkan sahaja.

Dan malam itu, saya bersyukur kepada Tuhan kerana impian saya sekian lama untuk merasa pelukan Abah, akhirnya termakbul.

KASIH SAYANG YANG TERSELINDUNG, ITULAH AYAH

Dulu saya selalu terbaca bahawa seorang ayah itu, dia sangat banyak memendam rasa. Dia tidak pandai menunjukkan rasa cinta dan perhatian kepada anaknya sebagaimana yang dilakukan oleh seorang ibu. Sedangkan dalam hatinya, terlalu sarat dengan kasih sayang, kerisauan, juga keinginan untuk melihat yang terbaik sahaja untuk anaknya.

Kini sedikit sebanyak baru saya mampu faham, bahawa kasih sayang yang ditunjukkan oleh seorang ibu dan seorang ayah itu tidak sama. Namun kedua-duanya tetap sayang, tetap cinta. Kini saya mengerti; meski ibu yang nampak banyak mengambil berat, tapi sebenarnya ayah tak pernah lupa untuk bertanyakan tentang kita kepada ibu, kerana biasanya seorang ayah tahu bahawa anak lebih banyak bercerita itu ini pada ibu. Sukarnya untuk hati ini memahami hati seorang ayah dan juga kesusahan yang dialami oleh seorang ayah.

Maafkan kami Abah, saat kami tidak mampu faham kenapa Abah perlu sibuk bekerja hingga kurang masa kita bersama, maafkan kami, bila kami tak mampu rasa perhatian yang diberi oleh Abah, maafkan kami, kerana tak faham kesusahan Abah membesarkan kami 7 beradik.

Maaf kan kami Abah, bila kami rasa kami berhak dapat ganjaran dari Abah sempena keputusan cemerlang yang pernah kami capai, tanpa mengerti bahawa sebenarnya kamilah yang perlu memberi dan terus memberi kepada Abah, atas segala penat lelah Abah hantar kami ke sekolah, atas semua duit gaji Abah yang habis kerana kami. Moga Abah halalkan dan redha dengan semua duit susah payah Abah yang telah kami habiskan. Moga Allah balas segalanya dengan kebaikan demi kebaikan, kerana sesungguhnya kami tak mampu untuk membalasnya walaupun kami mencuba.

Terima kasih Abah, untuk segalanya. Maafkan kami, andai terlalu lewat kami sedar akan kasih sayang Abah.

Abah... 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...