Saturday, August 5, 2017

Aspuri yang Kurindu

Bismillah.

Rasa nak menulis sedikit tentang sekolah asrama. Saya masuk asrama dari umur 13 tahun. Tapi masa tu cuma asrama sekolah harian, bukan sekolah asrama penuh. Walaupun sekolah tu cuma sekolah harian, tapi ia banyak mengubah saya dari segi kerohanian. 

Di asrama tersebutlah saya mula belajar untuk solat jemaah bersama kawan-kawan, belajar untuk membaca al Quran selepas solat, belajar untuk hadiri kuliah agama di surau, dan di sana jugalah saya belajar untuk amalkan zikir-zikir harian yang menyentuh hati. Semua ini saya tidak belajar di rumah. Mungkin kerana suasana di rumah tak sama dengan suasana asrama yang mewajibkan semua untuk solat jemaah (Maghrib & Isyak). Dan mungkin kerana pengaruh rakan sebaya (yang baik) yang menjadikan saya lebih termotivasi untuk sentiasa perbaiki diri dan buat yang terbaik. 

Di asrama harian ini jugalah saya belajar untuk menjadi imam solat kepada rakan-rakan. Semestinya ia pengalaman baru, dan saya amat hargai nikmat itu semua. Tak sangka walaupun ia cuma sekolah menengah biasa dengan pelajar-pelajar biasa (yang gila-gila pun ramai juga) yang bukan dari latar belakang sekolah agama, tapi terlalu banyak yang saya pelajari tentang perkara kerohanian di situ. 

Ketika di tingkatan 2, saya dilantik untuk menjadi AJK Keceriaan Aspuri. Tapi masuk sahaja tingkatan 3, saya terus diubah Biro; saya dilantik menjadi Penolong Ketua Biro Kerohanian. Kemungkinan ada senior-senior yang melihat saya sering juga menjadi imam waktu solat, jadi mereka rasakan saya sesuai untuk memegang jawatan tersebut wallahua'lam. Selain jawatan tersebut, saya juga dipertanggungjawabkan untuk menjadi Ketua untuk tingkatan 3 bahagian Aspuri. Kalau diikutkan, masih ramai lagi yang layak, cuma saya sejenis yang adakala cuba untuk cabar diri sendiri & beranikan diri untuk memegang jawatan, sebab saya percaya bila diberi tanggungjawab, diri saya akan jadi lebih berdisiplin. 

Gambar kelas tingkatan 3 di STARP, Kulai. 
Agak banyak sebenarnya jawatan yang harus saya pegang ketika tingkatan 3, yang mana semuanya amat membantu saya dalam menjadi seorang yang lebih matang. Jadi tak ada peluang untuk nakal-nakal masa sekolah. ;) Saya seorang pelajar yang biasa sahaja, tidaklah layak untuk bergelar pelajar contoh atau pelajar terbaik dari segi akademik & sahsiah. Tapi mungkin jawatan tu Tuhan beri sebagai cara untuk mendidik saya. Alhamdulillah syukur Tuhan pilih semua itu untuk saya. Memang terlalu banyak perkara yang saya belajar darinya. <3


Dan ketika tingkatan 4, saya mengalami perubahan hidup yang agak drastik selepas memasuki sekolah KISAS. Saya tak nak berbicara panjang tentang perubahan-perubahan tersebut. Sekadar mahu menulis tentang asramanya & apa yang saya belajar dari situ. Di KISAS, saya belajar untuk solat jemaah setiap waktu. Di asrama sebelum ini, solat jemaah hanya Maghrib & Isyak. Di Kisas juga saya belajar untuk melazimi solat sunat Dhuha, zikir pagi petang, serta di situ juga saya belajar untuk solat awal setiap kali masuk waktu. Oh ya, satu lagi perkara baru yang saya belajar di Kisas ialah; memberi tazkirah di hadapan beratus-ratus pelajar termasuk junior & senior. :D

Sahabat sekelas ketika tingkatan 5 di KISAS. 

Terlalu banyak sebenarnya mutiara berharga yang saya pelajari di kedua-dua asrama tersebut, cuma saya tekankan tentang perkara yang berkaitan surau & masjid. :) Memang semuanya itu kenangan yang sangat indah untuk dikenang kembali. Adakala boleh menitis juga airmata kerana merasakan bahawa diri saya yang dulu jauh lebih baik dari diri yang sekarang. Moga ia jadi muhasabah kepada diri saya yang sekarang supaya memperbaiki apa yang kurang inshaAllah. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...