Monday, October 29, 2018

5 TIPS SUPAYA RAYUAN HAJI DILULUSKAN

Bismillah.

Tadi ada yang tanya saya di instagram ask tentang haji, terus saya terfikir untuk menulis beberapa tips ini, sebagai panduan untuk anda yang ingin buat surat rayuan haji. Tapi tips ini cuma cara yang kemungkinan boleh membantu dalam mendapat kelulusan rayuan, bukan jaminan bahawa rayuan kita akan diterima. Ini semua ikhtiar dan terserah kepada Allah untuk menentukan. :)

Pertama: Cukupkan duit dalam akaun Tabung Haji (TH).
Semasa buat surat rayuan, pastikan kita sudah masukkan RM10k dalam akaun tabung haji kita, dan sebutkan di dalam surat tentang wang yang sudah cukup itu. Supaya pihak TH tahu bahawa kita memang serius akan pergi haji jika dipanggil dan tidak akan menolak tawaran gara-gara isu kewangan. Jika ada calon yang ditawarkan menolak tawaran, ia agak menyusahkan pihak TH kerana perlu mencari calon baru.

Kedua: Pergi kursus haji dahulu sebelum menulis surat rayuan.
Apabila pihak TH nampak bahawa kita memang sudah bersedia ke sana, inshaAllah ia adalah satu bonus juga agar rayuan kita terpilih untuk diluluskan.

Ketiga: Beritahu bahawa fizikal kita masih sihat dan muda, dan inshaAllah akan mudah untuk mengerjakan haji di samping membantu warga emas yang lain sepanjang mengerjakan haji. Isu kesihatan sangat penting untuk dipertimbangkan oleh pihak TH, kerana itu setiap calon jemaah haji perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan biasanya sangat ramai juga yang tidak berjaya melepasi syarat-syarat minimum kesihatan untuk menunaikan haji. (Dan jika anda seorang doktor, nurse atau memegang mana-mana jawatan yang dapat menyumbangkan tenaga semasa di sana, anda juga boleh beritahu tentangnya.)

Keempat: Jika anda seorang wanita dan ayah/suami anda mendapat tawaran, anda boleh nyatakan bahawa jika anda pergi bersama mahram anda  (yang memang gilirannya), pihak TH akan dapat jimat kuota. Macam mana tu? Kalau anda pergi dengan mahram, bermakna mahram anda tidak perlu pergi lagi buat kali kedua ketika giliran anda yang sebenarnya tiba pada masa akan datang.

Kelima: Hantar surat rayuan dengan segera. Apabila buka sahaja kaunter rayuan haji, terus tulis surat dan hantar kepada pihak TH. Boleh google contoh surat rayuan haji, ada ramai yang sudah kongsi. Biasanya kaunter rayuan dibuka sebulan dua selepas haji. Saya tak pasti bila tarikh yang tepat rayuan mula dibuka. Anda boleh hubungi Tabung Haji di talian: 03 6207 1919.

Apapun, jangan mudah berputus asa jika rayuan anda belum diterima. Teruskan membuat rayuan, dan persiapkan diri untuk mengerjakan haji. Kita hanya merancang & berusaha, tapi Allah lah yang akan menentukan bila waktunya kita akan dijemput ke sana, Dia mahu lihat apa usaha kita untuk ke sana. Dan jika kita ditakdirkan meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji, moga-moga ada pahala besar buat kita kerana sudah benar-benar berusaha. InshaAllah.

Pandangan Masjidil Haram dari Sofwah Tower


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...