Tuesday, October 16, 2018

Munajat Malam

Bismillah.

 Waktu malam selepas anak-anak tidur, saya sangat mudah tersentuh hati mengalirkan airmata memikirkan manusia-manusia penting dalam hidup. Antara sedih, risau, terharu, rindu. Bercampur semuanya.

Saya selalu rasa terharu dan terlalu sebak memikirkan baiknya Allah memberi aku dua anak penyejuk hati ini, banyaknya bahagia yang Allah beri kepadaku melalui anak-anak ini. Dan apabila mengenangkan demikian, saya pun pasti akan mula terbayang bagaimana agaknya mereka ini andai saya pergi dahulu meninggalkan mereka. Allahuakbar, terlalu sedih untuk digambarkan.

Suka atau tidak, satu masa kita tetap akan perlu berpisah dengan insan-insan kesayangan kita. Dan, sungguh saya rasa tidak bersedia untuk kehilangan mereka. Meski itu lumrah dunia, setiap yang hidup akan mati, namun tetap tidak dapat menidakkan perasaan sedih yang mencengkam sanubari.

Apabila terbayangkan ibu juga airmata ini terlalu cepat mengalir. Terbayang ibu pasti rindukan anak-anak sebagaimana kita merindukan anak kita walau anak cuma ke sekolah sebentar. Apatah lagi ibu tua yang sudah tinggal jauh dengan anak-anak. Allahu... Ya Allah, aku mohon Kau beri aku peluang untuk berbakti kepada kedua ibubapaku selama hayat mereka. Aku mohon Kau murahkan rezeki aku agar aku dapat bahagiakan mereka dengan memberi apa sahaja yang mereka minta. Ya Allah aku ingin bersusah payah untuk mereka sebagaimana mereka bersusah payah membesarkan aku.

Untuk anak-anakku, andai Kau ambil aku dahulu dari mereka, jagalah mereka ya Allah kerana Engkaulah sebaik-baik penjaga. Pimpinlah mereka di bawah hidayahMu ya Allah, dan bawalah mereka jauh sejauh-jauhnya dari dosa & kemungkaran. Kerana aku mahu bertemu mereka semula di Syurga.

Dan untuk suamiku, halalkanlah segalanya, moga diampunkan segala dosaku, dan moga dikau redha akanku, supaya di Akhirat kelak aku akan bisa memilih mana-mana pintu syurga yang aku mahu. Allahuakbar, matikan aku dalam iman. Matikan aku saat Kau sudah menerima taubatku, matikan aku dalam sujudku padaMu...

Tuhan, aku benar-benar ingin sebuah kehidupan bererti, yang meninggalkan bakti & budi... Yang penuh kecintaan pada Ilahi... yang bukan mengejar duniawi tetapi yang mencari bekal untuk dibawa ke firdausi.

Tuhan, terima kasih untuk hidup ini...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...