Monday, November 12, 2018

Haji Ketika 29 Tahun, Satu Kenangan

Bismillah.

Saya baru perasan rupanya dalam pada saya banyak share itu ini tentang pergi haji, saya tak pernah betul-betul cerita macam mana saya dapat tawaran pergi haji dalam usia yang boleh dikatakan muda berbanding kebanyakan jemaah haji yang lain.

Buat pengetahuan semua, saya daftar haji pada tahun 2011. Dan kalau ikutkan, giliran saya tunaikan haji (mengikut kuota tabung haji) ialah pada tahun 2045. Waktu tu saya tak rasa sedih melihat giliran masih lambat, sebab dalam hati saya yakin bahawa kalau Allah jemput ke rumahNya, saya akan pergi jauh lebih awal dari giliran tersebut. Saya juga pernah terlintas dalam hati untuk menunaikan haji sebelum umur 30 tahun sejurus selepas saya membaca satu doa di internet berkaitan 'hajj before 30".

Pada Januari 2016, suami saya dapat tawaran menunaikan haji. Panggilan itu agak tidak disangka-sangka kerana itu kali ke-3 suami saya mendapat surat tawaran dari pihak Tabung Haji. Kali pertama ketika 17 tahun kalau tak silap saya, dan kali kedua pada tahun 2011. Namun kedua-duanya suami saya tolak atas sebab kekangan ketika itu. Dan tak silap saya, kalau kita sudah decline tawaran sebanyak dua kali, kuota kita akan gugur dan giliran akan diberikan kepada orang lain. (Tapi masih boleh buat rayuan). Suami saya sudah membuka akaun Tabung Haji sejak kecil lagi. Sebab itu gilirannya mendapat tawaran agak cepat.

Dalam flight. Di tempat duduk saya.
Dan untuk tahun 2016 tersebut, suami saya tidak ada membuat sebarang rayuan untuk menunaikan haji, kerana itu kami agak terkejut + bersyukur apabila menerima surat tawaran. Bermula dari saat itu, saya juga terus cari cara bagaimana untuk membuat surat rayuan untuk menunaikan haji bersama suami. Kalau cuma isteri (45 tahun ke bawah) yang dapat surat tawaran haji, suami tak perlu buat surat rayuan kerana automatik suami akan pergi kerana isteri wajib ada mahram yang pergi bersama. Namun jika hanya suami yang dapat tawaran haji, isteri perlu membuat surat rayuan jika ingin turut bersama-sama menunaikan haji. (boleh baca selanjutnya tentang tips rayuan haji diluluskan di SINI)

Ketika baru tiba di Mekah.

Jadi pada bulan April, saya google cara-cara menulis surat rayuan haji, cukupkan duit RM10k dalam akaun tabung haji dan submit surat tersebut. Sungguh saya rasa amat berdebar menantikan surat jawapan. Ketika itu, pihak Tabung Haji mengatakan bahawa jika saya tidak menerima apa-apa surat tawaran selewatnya bulan Ramadhan tahun tersebut, bererti rayuan saya tidak diterima.

Bilik saya di hotel Land Premium, Mekah selama sebulan.
Dan, bercucuranlah airmata saya ketika Ramadhan tahun tersebut tamat & saya tidak ada menerima sebarang surat dari pihak tabung Haji. Ketika itu saya redha tidak dipanggil dan berazam untuk membuat rayuan pada tahun berikutnya, Namun tiba-tiba pada bulan Ogos 2016, ayah mertua menghantar sms kepada saya dan beritahu bahawa pihak Tabung Haji ada menghubunginya untuk memaklumkan bahawa saya perlu memberi jawapan samada mahu menunaikan haji pada tahun tersebut atau tidak. Rupa-rupanya pihak Tabung Haji ada menghubungi saya tapi tidak berjaya kerana saya sudah bertukar ke nombor baru.

Bila saya hubungi semula pihak Tabung Haji, barulah saya dapat tahu mereka ada hantar surat tawaran kepada saya sejak bulan April lagi, yang bermakna surat rayuan saya yang sebelum itu sebenarnya telah diluluskan. Saya pun tak tahu kenapa surat tersebut tidak sampai kepada saya. Maka turun naiklah saya di bangunan Tabung Haji demi menyelesaikan urusan pendaftaran haji 2016.

Malam pertama di Mekah untuk haji 2016. Masjidilharam yang kurindu

Saya langsung tidak berkesempatan untuk mengikuti sebarang kursus haji, semuanya kerana saya dapat tahu tentang tawaran ini agak 'last minute'. Tak silap saya, ketika itu saya hanya ada 3 minggu untuk selesaikan urusan sebelum berangkat menunaikan haji pada 3hb September 2016. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun kesuntukan masa. Cuma saya tak dapat nafikan bahwa perasaan saya ketika itu amat berdebar. Saya ada menulis di SINI tentang debaran tersebut.

Apa pengajaran yang boleh diambil dari pengalaman saya ini?

1) Giliran haji kita yang bukanlah yang sebagaimana tercatat dalam rekod tabung haji kita, tetapi bila-bila sahaja Allah jemput, itulah giliran kita. Oleh itu, jangan sedih atau putus harapan. Teruskan usaha untuk pergi menunaikan haji.

2) Kita boleh menulis surat rayuan menunaikan haji walaupun giliran kita masih lambat. Ini kerana, setiap tahun akan ada sahaja kuota yang kosong kerana sangat ramai yang tidak 'lepas' untuk pergi haji meski sudah tiba giliran mereka. Selain sebab kematian, wanita hamil serta orang yang sakit yang tidak lulus pemeriksaan kesihatannya juga tidak dapat menunaikan haji.

3) Usahakanlah dahulu untuk cukupkan RM10k sekurang-kurangnya dalam akaun tabung haji sebelum kita menggunakan duit yang kita ada untuk melancong ke negara-negara lain. Utamakan ibadah haji kerana ia adalah salah satu rukun islam yang wajib untuk kita tunaikan setelah cukup wang serta kemampuan.

4) Jika kita ada anak, bukakanlah akaun Tabung Haji secepat mungkin dan daftar haji segera (minimum RM1300 dalam akaun), percayalah bahawa ini adalah antara hadiah terbesar yang akan anak kita hargai apabila mereka dewasa kelak.

Moga Allah permudahkan jalan kita semua menuju Haramain, insha Allah.

Saturday, November 10, 2018

TIPS MENULIS OLEH FYNN JAMAL

Bismillah.


Untuk anda yang minat menulis, moga ini bermanfaat untuk anda. :) Tips ini saya dapat dari program bersama Kak Fynn Jamal beberapa tahun lepas di Johor Bahru.


1) Kita tak semestinya banyak baca buku untuk jadi penulis yang baik, cukup dengan kita banyak memerhati/observe (daripada banyak berbicara yg sia-sia), banyak ambil pengajaran dari peristiwa itu dan ini yang pernah kita alami, dan juga banyak berfikir di sebalik apa sahaja yang berlaku.


2) Untuk menulis puisi, atau apa sahaja cerita, boleh sahaja kita guna bahasa biasa-biasa tanpa bahasa yang puitis atau sastera. Asalkan ia dari hati. Guna lah bahasa biasa, pasti sampai. Tengok lah cara kak Fynn tulis, bahasa santai je kan? Tapi ramai yg suka, ramai yg terkesan. <3



3) Jangan sedih atau sentap kalau ada segelintir orang yang tak suka penulisan kita. Percayalah bahawa itu lumrah. Takkan ada penulisan yang 100% disukai oleh semua orang.


4) Sebelum menulis, kita mesti tahu siapa pembaca kita, bagaimana latarbelakang mereka, umur mereka, zaman mereka, apa gaya bahasa yang mereka biasa guna, apa corak hidup mereka, benda apa yang mereka suka, bagaimana perasaan mereka dan macam-macam lagi.

Pendek kata, kena betul-betul kenal dan menjiwai kehidupan pembaca kita. Macam kak Fynn, dia kata sasaran pembaca penulisan dia adalah anak-anak muda yang nak berubah, yang masih rasa susahnya nak berhijrah. Bagamana dengan anda, siapa pembaca anda? :)


5) PEMBACA PALING SUKA BILA DIA TEMUI DIRI DIA DALAM PENULISAN KITA. Ini antara rahsia terbesar dalam dunia penulisan. ;) Kita pun macam tu kan? Kita suka sangat bila kita boleh relate dengan apa sahaja yang diceritakan oleh penulis tertentu. Kita rasa hati kita dekat sangat penulis tu walaupun kita mungkin tak kenal dia.

Jadi, kalau kita nak menulis yang nak menarik ramai orang suka, tulislah tentang mereka, atau tulislah apa sahaja yang mereka boleh ambil manfaat darinya, yang berkaitan diri mereka, dan bukan penulisan syok sendiri. Sekalipun nak bercerita tentang diri/pengalaman kita, tapi cara olahan tu kena betul dan kena pandai tulis supaya bila pembaca tengok, dia sendiri boleh kaitkan pengalaman kita dengan diri mereka.


6) Sebelum tekan post atau publish, pastikan tiada apa dalam penulisan tu yang bakal kita kesalkan. Sebab once dah post dan orang ramai dah baca, kita tak boleh tarik balik walaupun ada option edit. Jadi perlu berhati-hati menulis. Tulislah yang baik-baik. Kata kak Fynn, dia selalu bayangkan macam mana kalau dia tulis perkara yang tak baik, tiba-tiba dicabut nyawanya ketika tulis benda tu? Na'udzubillahi min dzaalik.

Kalau boleh biarlah semua yang baik-baik sahaja di saat pengakhiran hidup kita. Tapi sayangnya kita tak tahu bila hidup kita akan berakhir, sebab tu kena setiap masa berusaha untuk buat/cakap/tulis yang baik-baik sahaja.


7) Jadilah diri sendiri ketika menulis, tak perlu ikut cara orang lain. Sebab bila kita terlalu fokus pada nak tiru gaya penulisan orang lain, kita hilang identiti dan menulis tu sendiri rasa tak syok, sebab kita tak lepaskan sepenuhnya apa yang kita rasa, kita sibuk nak ikut cara orang lain. Tapi kalau memang kita dah tulis guna cara sendiri kemudian tiba-tiba ada orang tegur, "Eh cara kau tulis ni macam cara dotdotdot tulah!" Tak apa, abaikan, sebab memang sebenarnya penulisan kita kadangkala dipengaruhi oleh penulisan orang-orang yang dekat dengan kita, atau yang kita selalu baca tulisannya.

Kalau kita memang betul-betul dah jadi diri sendiri ketika menulis tu tapi ada jugak yang kata kita tiru orang, takpelah, nak buat macam mana. ;p Cuma kalau memang kita perasan yang cara kita tulis tu dah sebijik macam orang tertentu, masa kita perasan tu, cepat-cepat ubah.


8) Macam mana nak tahu kita ni seorang penulis atau tidak? Senang saja, seorang penulis ni biasanya tak tenang bila dia tak menulis, rasa macam tak puas bila dia tak dapat luahkan apa-apa dalam bentuk penulisan. Kita tak perlu tunggu kita publish buku dulu untuk merasakan bahawa diri kita adalah penulis. Tak perlu tunggu ada vocabulary yang hebat-hebat dalam kepala untuk meyakinkan bahawa kita adalah seorang penulis.


"You know you are a writer when you feel very satisfied with what you write." :)


9) Jangan rasa down dan cepat putus asa dari menulis bila tak ramai orang yang like, asalkan kita tahu kita dah tulis perkara yang betul, yang baik-baik, yang bermanfaat. Teruskan menulis. Janganlah baru sekali dua post status FB tak dapat ribu-ribu like macam kak Fynn, terus give up nak menulis. Mula dari bawah, mula slow-slow, dan tulislah apa sahaja yang memberi manfaat. ;)


Teruskan menulis dan memberi inspirasi.

Tuesday, November 6, 2018

Realiti Hidup Business-Founder

Bismillah.

Salah satu perkara yang saya rasa agak mencabar selama menjadi founder bisnes adalah; menangani persepsi orang lain terhadap kita. Ramai orang menganggap menjadi founder adalah perkara yang menyeronokkan, tidak stress, duit berkepuk-kepuk, boleh berjalan sini sana, pergi kelas sini-sana berkenalan dengan kawan baru, best kerja dari rumah dapat jaga anak sendiri dan pelbagai lagi yang 'kelihatan' seronok.

Tapi hakikatnya, seorang founder itu manusia biasa juga, yang diuji, yang ada tekanan tersendiri, yang ada masanya dia di bawah. Sudah berapa ramai orang bisnes yang alami tekanan sehingga perlu mendapatkan rawatan. Apalagi founder yang perlu menguruskan anak-anak & bisnes dalam masa yang sama. Pastinya jalannya tak mudah dan kesabaran yang tinggi amat diperlukan.

Selain kesabaran, salah satu perkara yang turut diperlukan oleh para founder ialah support system yang hebat. Dan saya baru sedari bahawa orang yang mampu menjadi support system terbaik bagi para founder (selain pasangan) adalah rakan-rakan founder juga. Kenapa? Kerana hanya sesama founder akan memahami segala cabaran dalam dunia bisnes. Hanya founder sahaja yang tahu bagaimana rasanya menangis kerana bisnes jatuh dan dalam masa yang sama diuji dengan perkara lain.

Bisnes ini, apabila kita tidak kuat, apabila kita tidak semangat, income kita juga akan terkesan. Kerana itu adakala ia tak mudah untuk memaksa diri sentiasa okay dan bersemangat menyiapkan task-task bisnes. Menjadi founder bisnes juga bererti anda tidak boleh berhenti mencari cara untuk improve segalanya, diri sendiri, jualan, staff.

Founder bisnes, kami dibiasakan untuk sentiasa cuba untuk positif dan berkongsi segalanya yang positif. Kerana itu, ramai yang menganggap hidup sebagai founder ni tak ada masalah, yang indah dan tenang-tenang sahaja. Tapi mereka silap, ramai founder bisnes yang saya kenal, yang di sebalik posting di FB atau IG mereka yang indah-indah atau gembira, terselit duka di hati serta beban yang amat berat.


Apabila saya masuk dalam komuniti founder, setiap hari akan ada saja salah seorang (atau lebih) yang akan mengadu itu dan ini. Dan kami selesa bercerita masalah masing-masing kerana situasi kami semua sama, dan kami amat memahami setiap apa sahaja cabaran serta ujian yang sedang dialami.

Tentang persepsi orang lain tentang founder bisnes samada yang positif atau negatif, tiada apa yang dapat dilakukan. Cuma adakala stress juga apabila orang minta derma, minta free itu ini, minta sponsor, dan apabila kami tidak dapat penuhi, mulalah dilabel sebagai kedekut atau sombong. Aduhai, kalaulah mereka faham realiti kehidupan seorang founder. Apapun, sebagai founder, yang mampu dilakukan adalah mencari support system yang baik, sebagai salah satu cara untuk mengekalkan momentum & juga kewarasan sendiri.

Untuk rakan-rakan founderku, bertahanlah dalam jalan ini. Andai diuji, moga terus kuat dan moga tak patah semangat untuk terus bangkit. Berehatlah seketika jika itu yang diperlukan. Moga Allah terus beri rezeki yang cukup kepada kita semua. Amin.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...