Monday, November 12, 2018

Haji Ketika 29 Tahun, Satu Kenangan

Bismillah.

Saya baru perasan rupanya dalam pada saya banyak share itu ini tentang pergi haji, saya tak pernah betul-betul cerita macam mana saya dapat tawaran pergi haji dalam usia yang boleh dikatakan muda berbanding kebanyakan jemaah haji yang lain.

Buat pengetahuan semua, saya daftar haji pada tahun 2011. Dan kalau ikutkan, giliran saya tunaikan haji (mengikut kuota tabung haji) ialah pada tahun 2045. Waktu tu saya tak rasa sedih melihat giliran masih lambat, sebab dalam hati saya yakin bahawa kalau Allah jemput ke rumahNya, saya akan pergi jauh lebih awal dari giliran tersebut. Saya juga pernah terlintas dalam hati untuk menunaikan haji sebelum umur 30 tahun sejurus selepas saya membaca satu doa di internet berkaitan 'hajj before 30".

Pada Januari 2016, suami saya dapat tawaran menunaikan haji. Panggilan itu agak tidak disangka-sangka kerana itu kali ke-3 suami saya mendapat surat tawaran dari pihak Tabung Haji. Kali pertama ketika 17 tahun kalau tak silap saya, dan kali kedua pada tahun 2011. Namun kedua-duanya suami saya tolak atas sebab kekangan ketika itu. Dan tak silap saya, kalau kita sudah decline tawaran sebanyak dua kali, kuota kita akan gugur dan giliran akan diberikan kepada orang lain. (Tapi masih boleh buat rayuan). Suami saya sudah membuka akaun Tabung Haji sejak kecil lagi. Sebab itu gilirannya mendapat tawaran agak cepat.

Dalam flight. Di tempat duduk saya.
Dan untuk tahun 2016 tersebut, suami saya tidak ada membuat sebarang rayuan untuk menunaikan haji, kerana itu kami agak terkejut + bersyukur apabila menerima surat tawaran. Bermula dari saat itu, saya juga terus cari cara bagaimana untuk membuat surat rayuan untuk menunaikan haji bersama suami. Kalau cuma isteri (45 tahun ke bawah) yang dapat surat tawaran haji, suami tak perlu buat surat rayuan kerana automatik suami akan pergi kerana isteri wajib ada mahram yang pergi bersama. Namun jika hanya suami yang dapat tawaran haji, isteri perlu membuat surat rayuan jika ingin turut bersama-sama menunaikan haji. (boleh baca selanjutnya tentang tips rayuan haji diluluskan di SINI)

Ketika baru tiba di Mekah.

Jadi pada bulan April, saya google cara-cara menulis surat rayuan haji, cukupkan duit RM10k dalam akaun tabung haji dan submit surat tersebut. Sungguh saya rasa amat berdebar menantikan surat jawapan. Ketika itu, pihak Tabung Haji mengatakan bahawa jika saya tidak menerima apa-apa surat tawaran selewatnya bulan Ramadhan tahun tersebut, bererti rayuan saya tidak diterima.

Bilik saya di hotel Land Premium, Mekah selama sebulan.
Dan, bercucuranlah airmata saya ketika Ramadhan tahun tersebut tamat & saya tidak ada menerima sebarang surat dari pihak tabung Haji. Ketika itu saya redha tidak dipanggil dan berazam untuk membuat rayuan pada tahun berikutnya, Namun tiba-tiba pada bulan Ogos 2016, ayah mertua menghantar sms kepada saya dan beritahu bahawa pihak Tabung Haji ada menghubunginya untuk memaklumkan bahawa saya perlu memberi jawapan samada mahu menunaikan haji pada tahun tersebut atau tidak. Rupa-rupanya pihak Tabung Haji ada menghubungi saya tapi tidak berjaya kerana saya sudah bertukar ke nombor baru.

Bila saya hubungi semula pihak Tabung Haji, barulah saya dapat tahu mereka ada hantar surat tawaran kepada saya sejak bulan April lagi, yang bermakna surat rayuan saya yang sebelum itu sebenarnya telah diluluskan. Saya pun tak tahu kenapa surat tersebut tidak sampai kepada saya. Maka turun naiklah saya di bangunan Tabung Haji demi menyelesaikan urusan pendaftaran haji 2016.

Malam pertama di Mekah untuk haji 2016. Masjidilharam yang kurindu

Saya langsung tidak berkesempatan untuk mengikuti sebarang kursus haji, semuanya kerana saya dapat tahu tentang tawaran ini agak 'last minute'. Tak silap saya, ketika itu saya hanya ada 3 minggu untuk selesaikan urusan sebelum berangkat menunaikan haji pada 3hb September 2016. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun kesuntukan masa. Cuma saya tak dapat nafikan bahwa perasaan saya ketika itu amat berdebar. Saya ada menulis di SINI tentang debaran tersebut.

Apa pengajaran yang boleh diambil dari pengalaman saya ini?

1) Giliran haji kita yang bukanlah yang sebagaimana tercatat dalam rekod tabung haji kita, tetapi bila-bila sahaja Allah jemput, itulah giliran kita. Oleh itu, jangan sedih atau putus harapan. Teruskan usaha untuk pergi menunaikan haji.

2) Kita boleh menulis surat rayuan menunaikan haji walaupun giliran kita masih lambat. Ini kerana, setiap tahun akan ada sahaja kuota yang kosong kerana sangat ramai yang tidak 'lepas' untuk pergi haji meski sudah tiba giliran mereka. Selain sebab kematian, wanita hamil serta orang yang sakit yang tidak lulus pemeriksaan kesihatannya juga tidak dapat menunaikan haji.

3) Usahakanlah dahulu untuk cukupkan RM10k sekurang-kurangnya dalam akaun tabung haji sebelum kita menggunakan duit yang kita ada untuk melancong ke negara-negara lain. Utamakan ibadah haji kerana ia adalah salah satu rukun islam yang wajib untuk kita tunaikan setelah cukup wang serta kemampuan.

4) Jika kita ada anak, bukakanlah akaun Tabung Haji secepat mungkin dan daftar haji segera (minimum RM1300 dalam akaun), percayalah bahawa ini adalah antara hadiah terbesar yang akan anak kita hargai apabila mereka dewasa kelak.

Moga Allah permudahkan jalan kita semua menuju Haramain, insha Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...