Tuesday, November 6, 2018

Realiti Hidup Business-Founder

Bismillah.

Salah satu perkara yang saya rasa agak mencabar selama menjadi founder bisnes adalah; menangani persepsi orang lain terhadap kita. Ramai orang menganggap menjadi founder adalah perkara yang menyeronokkan, tidak stress, duit berkepuk-kepuk, boleh berjalan sini sana, pergi kelas sini-sana berkenalan dengan kawan baru, best kerja dari rumah dapat jaga anak sendiri dan pelbagai lagi yang 'kelihatan' seronok.

Tapi hakikatnya, seorang founder itu manusia biasa juga, yang diuji, yang ada tekanan tersendiri, yang ada masanya dia di bawah. Sudah berapa ramai orang bisnes yang alami tekanan sehingga perlu mendapatkan rawatan. Apalagi founder yang perlu menguruskan anak-anak & bisnes dalam masa yang sama. Pastinya jalannya tak mudah dan kesabaran yang tinggi amat diperlukan.

Selain kesabaran, salah satu perkara yang turut diperlukan oleh para founder ialah support system yang hebat. Dan saya baru sedari bahawa orang yang mampu menjadi support system terbaik bagi para founder (selain pasangan) adalah rakan-rakan founder juga. Kenapa? Kerana hanya sesama founder akan memahami segala cabaran dalam dunia bisnes. Hanya founder sahaja yang tahu bagaimana rasanya menangis kerana bisnes jatuh dan dalam masa yang sama diuji dengan perkara lain.

Bisnes ini, apabila kita tidak kuat, apabila kita tidak semangat, income kita juga akan terkesan. Kerana itu adakala ia tak mudah untuk memaksa diri sentiasa okay dan bersemangat menyiapkan task-task bisnes. Menjadi founder bisnes juga bererti anda tidak boleh berhenti mencari cara untuk improve segalanya, diri sendiri, jualan, staff.

Founder bisnes, kami dibiasakan untuk sentiasa cuba untuk positif dan berkongsi segalanya yang positif. Kerana itu, ramai yang menganggap hidup sebagai founder ni tak ada masalah, yang indah dan tenang-tenang sahaja. Tapi mereka silap, ramai founder bisnes yang saya kenal, yang di sebalik posting di FB atau IG mereka yang indah-indah atau gembira, terselit duka di hati serta beban yang amat berat.


Apabila saya masuk dalam komuniti founder, setiap hari akan ada saja salah seorang (atau lebih) yang akan mengadu itu dan ini. Dan kami selesa bercerita masalah masing-masing kerana situasi kami semua sama, dan kami amat memahami setiap apa sahaja cabaran serta ujian yang sedang dialami.

Tentang persepsi orang lain tentang founder bisnes samada yang positif atau negatif, tiada apa yang dapat dilakukan. Cuma adakala stress juga apabila orang minta derma, minta free itu ini, minta sponsor, dan apabila kami tidak dapat penuhi, mulalah dilabel sebagai kedekut atau sombong. Aduhai, kalaulah mereka faham realiti kehidupan seorang founder. Apapun, sebagai founder, yang mampu dilakukan adalah mencari support system yang baik, sebagai salah satu cara untuk mengekalkan momentum & juga kewarasan sendiri.

Untuk rakan-rakan founderku, bertahanlah dalam jalan ini. Andai diuji, moga terus kuat dan moga tak patah semangat untuk terus bangkit. Berehatlah seketika jika itu yang diperlukan. Moga Allah terus beri rezeki yang cukup kepada kita semua. Amin.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...