Wednesday, December 11, 2019

40 Hari Tanpa Anak Ketika Haji

Bismillah.

Saya bukan nak kongsi tips, cuma mahu bercerita pengalaman sendiri. Mudah-mudahan boleh beri sedikit gambaran ataupun kelegaan kepada anda yang bakal menunaikan haji dan tinggalkan anak.

Waktu dapat tahu tentang rayuan haji saya diterima, perasaan agak bercampur baur. Antara teruja, bersyukur, risau, dan sedih. Sedih sebab akan tinggalkan anak yang ketika itu berumur 5 tahun. Antara perkara terawal yang saya lakukan selepas dapat tahu tentang tawaran haji tersebut ialah; pergi pada anak dan terus terang padanya bahawa saya dapat pergi haji dan akan meninggalkannya selama lebih kurang 40 hari.



Allahu, sebak sambil menaip. Sewaktu beritahu anak, kami berdua terus menangis dan berpelukan. Itu pertama kali dalam tempoh 5 tahun saya akan tinggalkannya dan biarkan dia tidur tanpa saya. Disebabkan waktu itu dia tiada adik beradik lain, perasaan sayu tu semakin kuat bertapak dalam hati. Tertanya-tanya bagaimana agaknya dia akan lalui 40 hari tanpa saya, dan tinggal bersama atok & neneknya.

Sebelum beritahu anak, sebenarnya saya ada google pengalaman orang lain yang meninggalkan anak ketika haji. Katanya, memang sangat penting untuk kita berterus-terang pada anak bahawa kita akan tinggalkannya. Memang akan ada sedih, tapi inshaAllah anak faham dan boleh terima. Itu lebih baik dari diam-diam pergi atau beritahu kita ada "kerja" tanpa menyebut mahu menunaikan haji.

Packing sebelum berangkat.

Tempoh antara saya dapat tawaran dan waktu berangkat, hanya lebih kurang 2 minggu. Jadi dalam tempoh itu memang saya sibuk ke sana sini uruskan hal yang sepatutnya. Dan dalam tempoh itu juga saya banyak bercerita dengan anak tentang haji. Sekurang-kurangnya anak juga faham apa yang kita lakukan sehingga perlu tinggalkannya. Dan dalam tempoh itu juga saya tinggalkan pesan kepadanya tentang apa yang perlu dia lakukan sepanjang ketiadaan saya dan suami.

Ketika di Imigresen di Jeddah

Sebelum pergi haji, memang saya biasa dengar orang kata, bila dah sampai di Tanah Suci nanti, kita tak akan sedih atau murung teringatkan anak. Rindu tu pasti ada, tapi bukan rindu yang melemahkan semangat. Maka saya pun percaya dengan kata-kata itu. Cuma saat yang paling menyakitkan ialah ketika malam berangkat ke Mekah, di Kelana Jaya.

Waktu itu, tak tergambar macam mana perasaan saya ketika salam peluk cium anak. Sungguh-sungguh bercucuran airmata. Bukan risaukan keadaannya sepanjang ketiadaan saya, tapi cuma sayu seandainya itu kali terakhir saya melihat anak. Saya tahu saya tidak sepatutnya berfikir yang negatif, tapi perkara tersebut bukan mustahil, boleh jadi Allah tarik nyawa dalam perjalanan, atau ketika di sana. Apatah lagi tahun sebelum itu (2015), ada insiden crane tumbang yang mengorbankan beberapa jemaah haji, dan juga insiden human centipede di Mina, yang juga turut mengorbankan nyawa.

Dipendekkan cerita, tiba sahaja dalam pesawat, Alhamdulillah hati terus tenang dan rasa lapang. Hati dan minda lebih tertumpu kepada berzikir serta bertalbiah. Mempersiapkan rohani dalam memulakan perjalanan haji. Dan sesampainya di sana, tiada rasa sebak atau sedih ketika teringatkan anak. Alhamdulillah ada aplikasi seperti whatsApp dan Line yang menghubungkan kami. Anak banyak menghantar voice note ketika saya di sana.

Di dalam pesawat. 

Selain disibukkan dengan urusan ibadah, keyakinan bahawa Allah menjaga anak saya juga menjadi penyebab hati ini mudah untuk tenang. Dan ketika di sana, baru saya tahu bahawa ramai lagi jemaah lain yang meninggalkan anak mereka yang lebih kecil berbanding anak saya. Ada yang meninggalkan bayi yang masih menyusu, hatta yang baru habis tempoh pantang! MashaAllah, kuatnya mereka. Dari situ saya semakin tenang memikirkan tentang anak.


Majdiyya (anak saya) ketika di rumah atok nenek. Baik-baik saja :)

Cuma seingat saya, saya ada juga menangis rindukan anak, di hari-hari terakhir saya di Tanah Suci. Mungkin kerana waktu itu, saya baru dapat berita tentang seorang kenalan yang kematian anak perempuannya yang sebaya anak saya. Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi naluri keibuan saya turut terkesan dan terbayang-bayang kalau saya yang berada di tempat kenalan tadi.

Apapun, Alhamdulillah semuanya selamat pergi dan pulang. Haji terlaksana, dan kami akhirnya bertemu semula dengan permata hati yang amat dirindui. Terima kasih Allah, Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan Penjaga.

Terima kasih Allah kerana menjemputku. 

Jadi untuk anda yang bakal menunaikan haji, jangan risau tentang anak. Yang penting, cepat-cepat beritahu anak tentang keberangkatan kita ke Tanah Suci. Kerana anak juga perlu masa untuk sediakan mental dan perasaan dalam menghadapi perpisahan sementara. Pastikan juga kita ceritakan kepada anak serba sedikit tentang haji. Supaya dia lebih faham tentang apa yang kita lakukan, dan supaya dia belajar untuk mengerti bahawa dalam hidup ini, kita perlu berkorban untuk Tuhan. :)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...